Ibu; Kau Istimewa


Ibu adalah wanita yang melahirkan kita. Benar. Tapi, hanya itukah yang telah di lakukan oleh seorang ibu untuk kita sebagai anak-anaknya? Adakah seorang anak dalam kandungan itu tiba-tiba ada dan tugas ibu hanya untuk melahirkan? Tidak. Seorang ibu melalui berbagai fase sebelum tiba pada saat melahirkan kita. Mudahnya, sebelum kita dilahirkan, seorang ibu telah melalui berbagai kepayahan hanya untuk membolehkan kita menghirup udara.

Pertama, seorang ibu telah mengandungkan kita. Seorang ibu telah menghadapi berbagai perubahan saat mengandung sembilan bulan lamanya. Perubahan anatomi, fisiologi, psikologi dan emosi mulai mengambil tempat. Sistem hormon akan ada perubahan. Sistem peredaran darah akan ada perubahan. Sistem penghadaman akan ada perubahan. Semua perubahan ini adalah adaptasi yang dilalui tubuh seorang ibu untuk menerima kehadiran kita yang semakin membesar dalam rahim. Maka, layakkah kita mengatakan ibu merupakan wanita yang melahirkan kita tanpa menyebut pengorbanan yang besar ini?

Sewaktu seorang perempuan hamil, artinya Allah tengah mengujinya. Wahnan ala wahnin. Kesusahan di atas kesusahan. Seorang ibu itu harus kuat dalam menjaga kita yang di kandungnya. Membawa kita bersama-sama dengan abdomen yang membesar. Menahan berat tambahan yang kita sumbangkan ketika dalam kandungan. Lalu, Allah menguji lagi dengan kesusahan yang lain seperti kesukaran ingin tidur. Menghadap sini, anak tak nyaman. Menghadap sana, ibu tak nyaman. Tambah lagi apabila amnion sac menekan urinary bladder, si ibu akan mempunyai masalah peningkatan frekuensi membuang air kecil. Namun, seorang perempuan tetap sabar. Seorang ibu akan teguh menghadapi kesukaran-kesukaran ini untuk membolehkan anak yang dikandungnya melihat dunia.

Pada saat ingin melahirkan, seorang ibu hanya ada dua pilihan. (MCQ pun ada 4 pilihan A,B,C dan D) Seorang ibu hanya ada pilihan untuk hidup, atau kembali menemui Ilahi. Peluangnya 50-50. Tidak ada pilihan lain. Seorang lelaki pun tidak mungkin akan sanggup untuk melahirkan seorang anak walau di bayar jutaan dolar sekalipun kerana risiko yang ada. Tetapi, seorang perempuan itu berkorban. Seorang perempuan sanggup menggadai nyawa untuk melahirkan kita. Sebab itulah Allah menakdirkan jika seorang ibu itu meninggal dunia saat melahirkan, maka ibu itu mati syahid. Masya Allah, betapa Allah memuliakan seorang perempuan. Sangat beruntunglah kita semua yang mempunyai ibu dan bakal menjadi ibu :)

Sedih sekali apabila kita mendengar apa yang berlaku pada ibu bapak pada masa ini. Saban hari kita menjumpai kabar tentang kelancangan seorang anak pada ibu bapaknya. Ibu bapak yang sudah renta diantar ke panti jompo. Yang paling membuat saya meneteskan air mata adalah kala membaca tentang kejadian anak-anak yang sanggup membunuh ibu bapak mereka. Apa sebabnya? Cukup kesal rasanya. Tidakkah mereka sadar bahwa begitu beruntung masih mempunyai ibu, masih mempunyai bapak. Tidak sedikit orang, baru menghargai ibu bapaknya saat mereka telah pergi. Barulah tangan terketar-ketar, memeluk nisan yang berdiri hambar. Saat itu, walau pun anak itu membuatkan pusara yang paling cantik dan paling indah sekalipun, tiada gunanya lagi. Si ibu telah pergi. Si bapa tiada mungkin akan kembali. Yang di tangisi sebenarnya hanyalah diri sendiri. Sesalan atas khilaf yang tiada sempat memohon di ampuni.


Lalu, bagaimana harus kita memuliakan ibu dan bapa?

Imam As-Samarqand menyatakan di dalam kitab tulisan beliau, Tanbihul Ghafilin bahawa hak ibu dan bapa terhadp seorang anak itu ada sepuluh perkara, antaranya:

Jika orang tua berhajat kepada makan harus diberi makan

Jika berhajat pada pakaian harus diberi pakaian. Rasulullah s.a.w. ketika menerangkan ayat (Yang berbunyi): "Wa sha hib huma fiddunnya ma'rufa. (Yang bermaksud): "Bantulah kedua orang tua didunia dengan baik, yakni supaya diberi makan jika lapar dan pakaian jika tidak berpakaian.

Jika berhajat bantuan harus dibantu

Menyambut panggilannya

Mentaati semua perintahnya asalakn tidak menyuruh berbuat maksiat dan ghibah (Mengasari orang)

Jika berbicara kepada keduanya harus lunak, lemah lembut dan sopan

Tidak boleh memanggil nama kecilnya (gelaran)

Jika berjalan harus dibelakangnya

Suka untuk orang tuanya apa yang ia suka bagi dirinya sendiri, dan membenci bagi keduanya apa yang tidak suka bagi dirinya sendiri

Mendoakan keduanya supaya mendapat pengampunan Allah s.w.t. dan rahmatNya Sebagaimana doa Nabi Nuh a.s. dan Nabi Ibrahim a.s. (Yang berbunyi): "Robbigh fir li waliwalidayya robbanagh fir li waliwalidayya wa lil muminin wal mu'minati yauma yaqumul hisab. (Yang bermaksud): "Ya Tuhan kami, ampunkan kami dan kedua ibu bapa kami dan semua kaum muslimin pada hari perhintungan hisab/hari kiamat. 

Seorang anak itu harus melaksanakan semua ini menurut Imam As-Samarqand. Seorang anak harus cuba menyuapkan makanan kepada ibu dan bapanya, bukan sekadar pulang di hujung minggu dan menyediakan makanan, lalu di ajak ibu itu makan. Atau membuat majlis doa selamat, lalu menjemput ibu makan. Sedarlah, di waktu kita kecil dahulu ibu dan bapalah yang menyuapkan. Biarpun kita berlari-larian, khayal dengan permainan. Terdapat kisah di zaman nabi Musa, di mana Nabi Musa a.s memohon pada Allah agar di tunjukkan temannya di syurga. Lalu Allah menitahkannya menemui seorang lelaki di pasar. Setelah memperkenalkan diri, Nabi Musa di jemput bertandang ke rumahnya. Nabi Musa melihat lelaki itu biasa-biasa saja. Tiada yang istimewa pada dirinya. Lelaki itu meminta Nabi Musa tunggu sebentar di ruang tamu, sementara dia menyediakan sedikit hidangan di dapur. Nabi Musa menjadi hairan melihat lelaki ini kelihatan sibuk berulang alik dari dapur ke bilik. Rupa-rupanya, di dalam bilik itu ada ibu pemuda tadi. Si pemuda berulang alik memasak untuk Nabi Musa sambil menyuapkan makanan kepada ibunya di dalam bilik. Dan mulut si ibu tidak putus-putus berdoa saat si anak menyuapkan makanan ke mulutnya. "Ya Allah, jadikanlah anakku ini teman Nabi Musa di syurga."

Ada suatu kisah lagi mengenai seorang pemuda yang sangat mencintai ibunya. Uwais Al-Qarni namanya. Seorang sahabat di zaman Rasulullah yang tidak pernah bertemu Rasulullah, tetapi namanya ada di sebut Rasulullah kepada Saidina Abu Bakr dan Saidina Umar. Uwais Al-Qarni ini merupakan seorang anak yang sangat taat pada ibunya. Uwais ingin sekali bertemu Rasulullah, namun atas kecintaannya pada ibunya, Uwais telah dengan sabar menjaga ibunya. Hinggalah suatu hari ibunya bersetuju mengikuti Uwais untuk bertemu Rasulullah di Madinah. Uwais berasa cukup gembira apabila mendengar ibunya sanggup untuk mengikutinya.(sangat berbeza dengan anak-anak zaman ini, yang jika ibu atau bapa ingin mengikut mereka bertemu dengan rakan atau berjalan-jalan, pasti menarik muka masam dan memberikan seribu satu alasan) Maka Uwais berangkat bersama ibunya, dalam sebuah perjalanan yang cukup menguji mereka. Uwais menggendong ibunya, hinggalah tiba suatu saat di mana ibunya mengatakan nampaknya perjalanannya akan terhenti di situ. Dalam kesedihan, Uwais merelakan pemergian ibunya kembali menemui Ilahi. Lalu, Uwais meneruskan perjalanannya menuju ke Madinah. Sebaik tiba, di tanyakannya kepada orang ramai, di manakah Rasulullah kerana Uwais terlalu ingin menemui baginda. Orang ramai menyatakan kepada Uwais bahawa Rasulullah telah wafat sebelum Uwais tiba. Uwais menangis teresak-esak. Kebetulan Umar dan Abu Bakr melalui kawasan itu, lalu bertanyakan apa yang terjadi. Mendengarkan bahawa pemuda yang menangis itu adalah Uwais Al-Qarni, kedua-dua khalifah Islam ini segera meminta agar pemuda itu mendoakan mereka semua. Uwais menjadi hairan. Lalu Umar menceritakan apa yang telah di katakan oleh Rasulullah kepada mereka, bahawa selepas kewafatan baginda, akan datang seorang pemuda bernama Uwais Al-Qarni, dan sangat makbul doanya kerana ketaatannya kepada ibunya. Mohonlah padanya untuk mendoakan kalian. Umar dan Abu Bakr berkata kepada Uwais;

"Kamu tidak dikenali oleh penduduk dunia...namun namamu harum di kalangan penduduk langit"


Konklusi: Biar nama tidak di kenali penduduk dunia...namun biarlah ianya harum di kalangan penduduk langit


Ibu dan bapa merupakan satu lagi pinjaman Allah kepada kita. Sudah sifat sesuatu yang di pinjam, pasti akan tiba waktu di mana pinjaman akan di ambil semula. Sebagai seorang anak, marilah kita berusaha sebaiknya untuk berbakti pada ibu dan bapa sementara kesempatan masih ada. Janganlah kita menanti hingga ke saat-saat akhir untuk menunjukkan kasih sayang kita kepada ibu bapa. Ibu dan bapa membesarkan dan menjaga kita dengan penuh kasih sayang hingga kita mampu berpijak sendiri di atas bumi ini, maka begitulah juga selayaknya kita menjaga dan mencurahkan kasih sayang kita kepada mereka. Memuliakan ibu dan bapa janganlah bermusim, berusahalah agar kita mampu melakukannya sepanjang masa. Marilah kita berusaha untuk mencontohi Uwais Al-Qarni, yang tidak di kenali penduduk dunia, namun namanya harum di kalangan penduduk langit kerana ketaatan dan kasih sayangnya pada seorang ibu.


Sebenarnya, saya menjadikan post ini sebagai satu nukilan istimewa sempena memperingati pemergian arwah ibu saya, Nor Amna binti Ibrahim, yang pada hari ini, 24 Julai 2010, telah genap 11 tahun kembali menemui yang Esa, sebagaimana yang pernah saya coretkan di sini. Mama, dah 11 tahun berlalu. Dan telah 11 tahun ika menempuhi hidup tanpa mama di sisi. Semoga rahmat Allah sentiasa bersama-sama mama. Ika akan sentiasa doakan mama. InsyaAllah, semoga kita akan bertemu kembali suatu hari nanti. Dan itu adalah sesuatu yang pasti.

Komentar

Postingan Populer